Tuesday, February 12, 2013

Sungguh aku malu!!!


Dalam kembara kehidupanku
Ada masa aku bangun
Ada masa aku jatuh
Lalu, rebahku ke tanah
Sujudku menyembah Ilahi
KepadaNya jua tempatku mengadu segala suka dan duka
Mengharap didengari segala syukur dan rintihan.

Saat aku terus mengadu dan meminta
Rasa malu mula menerpa
Tatkala merasa diri ini hanya seorang hamba
Yang tahunya meminta sahaja
Persoalan mula tercurah di benak fikiranku
Apakah aku telah berikan seperti yang dipinta?

Lantas aku bermonolog
“Sesungguhnya memang Engkaulah Maha Besar dan Maha Kaya
Sememangnya jika hambaMu tidak bersyukur, ianya tidak menjadi hal kepadaMu
Sebaliknya, jika hambaMu bersyukur, keberuntungan terpulang kepadanya”.

Terderai jualah air mata keinsafan
Pabila mengenangkan terlalu banyaknya permintaanku
Sedangkan aku ini hanya di taraf seorang hamba
Yang terkadang alpa untuk bersyukur kepadaMu
Yang terkadang lalai untuk memujiMu dengan asma’ Mu
Sungguh, aku malu!

Ilahi, pintaku kini
“Engkau Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
Ampunilah aku, hambaMu yang hina ini
Bimbinglah langkah kakiku ke jalanMu
Syafaatkanlah aku di hari tiada pemberiaan syafaat melainkan olehMu
Lindungilah aku dari azab kuburMu
Lindungilah aku dari seksa api nerakaMu
Berikanlah aku al-fallah, kejayaan di dunia dan di akhirat
Dan kurniakanlah kepadaku syurgaMu
Sebagai tempat rehatku buat selamanya
Dengarlah permintaan hambaMu ini
Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa"
Aminnn, Ya Rabbal a’lamin.

# Bersyukurlah kepada Allah akan segala nikmatNya. Dan sesiapa yang bersyukur, maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur, maka tidalah menjadi hal kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (31:12)
Berikanlah ruang dalam hidup kita untuk kita mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan.

# Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. (17:44)
Maka, tanyakan pada diri, layakkah kita untuk melupakan pencipta kita? Marilah bersama-sama hadirkan diri sebagai hamba. Membasahi lidah dan menyirami hati dengan zikrullah.

# Suburkanlah taqwa dengan benih keimanan. Mantapkan amal dengan ilmu.
Moga bekalan yang dibawa cukup untuk sampai ke destinasi akhirat.
Moga redha Ilahi menemani diri. InsyaAllah. :)


NW
1615
091112

No comments:

Post a Comment