Monday, February 18, 2013

Ibu, Ayah, Izinkan kami ....



"Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai selain nikah. "
(HR Ibnu Majah)


Izinkan saya untuk mengetengahkan isu, nikah muda yang sinonimnya untuk golongan muda khususnya remaja.
Jika kita lihat situsai yang berlaku sekarang ini, ramai remaja yang masih lagi belajar dan dalam waktu yang sama, sudahpun bernikah.
Alhamdulillah.

Namun, masyarakat mula memperkatakan dan mempersoalkan mereka yang berkahwin awal.
Macamlah mereka ini melakukan kesalahan yang amat besar, yang tidak boleh dimaafkan.

***

"Dah gatal sangat lah budak tu, sampai tak menyabar nak kahwin. Usia muda lagi. Belajar pun tak habis lagi. Nak jadi apa diorang ni kalau takde pelajaran. Mana ada orang nak ambil dia bekerja. Nak kasi anak orang makan apa. Nanti tengok hidup merempat."

"Budak tu muda lagi, dah kahwin. Boleh ke dia tu pikul tannggungjawab. Kahwin ni bukan perkara main-main. Besar tanggungjawabnya. Mana lagi nak belajar. Mana nak jadi suami/isteri. Alih-alih tengok, pelajaran entah ke mana. Bila ada masalah nanti, bercerailah gamaknya. Almaklumlah orang darah muda. Baran. Isy. Tak patut betul budak-budak muda ni kahwin."

"Budak yang kahwin tu tak matang lagi dah nak kahwin. Apa masalah entah dia ni. Ada apa-apa lah tu."

***
Kata-kata sinis macam ni selalu terpacul keluar dari mulut mereka dan akan kita dengar. Tapi, pada saya, ABAIKAN.
Abaikan yang saya maksudkan di sini bukannya tidak mendengar atau ambil pusing kata-kata sinis mereka itu, tetapi, kita dengar, dan ambil itu sebagai salah satu cabaran pada kita. Buktikan pada mereka yang kita boleh atasi masalah yang mereka kata-katakan itu.

"Don't give up just because of what someone said. Use that as a motivation to push harder."
Unknown

Abaikan apa yang mereka ingin katakan kerana itu mulut mereka. Mereka punya hak untuk bersuara, memberikan pendapat. Tak salah pun. Tiada yang salah.

Cumanya, saya ingin mengajak kita semua untuk melihat sesuatu yang baik dari dimensi yang lebih baik.
Cuba letakkan diri kita dalam situsi mereka. Itu namanya empati.
Fikir, kenapa remaja sekarang ni nak sangat kahwin awal?
Fikir, kenapa kita tidak boleh bersetuju dengan mereka yang membuat keputusan untuk berkahwin awal?

"The more you look into and understand yourself, the less judgemental you become towards others."
Prof Tariq Ramadan

Mari kita ambil contoh dengan kes buang bayi. Masyarakat umunya amat perihatin. Menunjukkan rasa sedih, simpati, kesal, geram, dan macam-macam lagi.
Tetapi, saya nak tanya, dan tanyakan juga pada hati anda, cukupkah dengan hanya menunjukkan kekesalan dan geram kita?
Apakah itu dapat membantu mengatasi masalah yang sudah tidak asing lagi di halwa telinga kita?
Jawapannya, TIDAK! Kenapa dengan hanya 'tunjuk perasaan' tidak ada apa-apa kesan?

Mari kita tamsilkannya begini, jika kita lapar, perut kosong, bebunyi-bunyi, apakah kita akan duduk diam membatu sahaja? Dengan harapan perut kita akan kenyang.
Atau, seperti zaman teknologi sekarang ini, yang mana manusia lebih memilih untuk menghebohkan kelaparannya di facebook atau twitter kata, "Saya lapar."
Apakah dengan cara begitu dapat mengenyangkan perut kita walaupun sedikit?
Jawapannya masih tetap sama iaitu TIDAK.
Tindakan kita iaitu makan/minum yang akan mengubahkan perut kita yang lapar itu.

Begitulah halnya yang saya nyatakan seperti sebelum ini.
Dapat apa yang ingin saya maksudkan dan cuba sampaikan? Mudah-mudahan dapat. InsyaAllah.
***

Tanyakan pula pada diri, bagaimana solusinya? Apa yang patut kita buat?
Bilamana ada anak-anak kita lelaki mahupun perempuan yang menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada kedua-dua ibu bapa mereka, saya mohon dengan kerendahan hati, untuk ibu bapa berfikirlah sejenak dan pertimbangkan hasrat mereka. Bukannya meletakkan syarat begitu begini. Bukannya sudah tidak mahu menganggap mereka sebagai anaknya lagi. Bukannya memarahi mereka. BUKAN! Bukan begitu!
Tetapi, cuba luaskan pemikiran kita dan jangan sempitkan.

"Lihat sesuatu yang baik dari dimensi yang lebih baik."
NW

"Nikah itu adalah sunnahku, maka, sesiapa yang benci akan sunnahku,
maka sesungguhnya dia bukan dari golonganku."
(HR Ibnu Majah)

Sepatutnya, ibu bapalah yang perlu memberikan dorongan dan sokongan untuk mereka melakukan sesuatu kebaikkan. Bukankah pernikahan itu sesuatu yang baik dan itu juga merupakan sunnah?
Maka, apakah salah sekiranya mereka ingin berkahwin walaupun usia mereka muda?
Berkemungkinan pada pandangan mereka (ibu bapa), mereka (anak) belum cukup matang dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang begitu besar.

Saya ingin mengajak kita semua melihat pada sisi lain, semasa kita dilahirkan ke dunia, apakah kita terfikir yang kita akan dilahirkan ke dunia? Semestinya tidak, bukan?
Sehinggalah suatu ketika, apabila kelak kita mampu untuk berfikir setelah melewati hari-hari di dunia ini, kita mula bertanya pada diri, "Kenapa aku dilahirkan? Banyaknya dosaku. Terasa sudah tidak tertanggung lagi. Taubat dan istighfar pun masih belum tentu mampu untuk memadamkan dosa-dosa silam. Tika itu. Saat itu. Baru kita tahu. Baru kita sedar tujuan kita dilahirkan, iaitu untuk mencari rahmat dan keredhaan Allah."

"Ingatlah bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu,
dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)."
(Surah Muhammad 47 : 36)

Tikamana seorang bayi dilahirkan kedunia, dia sudahpun menggalas tanggungjawab untuk
menjadi seorang hamba yang beriman dan bertaqwa kepada Pencipta,
menjadi anak soleh/solehah kepada kedua-dua ibu bapa mereka.
Apakah mereka tahu bagaimana mahu menjalankan tanggungjawabnya? Tidak.
Mereka masih bayi. Tidak tahu apa-apa.
Namun demikian, mereka tetap teguh dan kuat untuk menggalas tanggungjawab itu.
Adakah orang yang menghalang mereka untuk menggalas tanggungjawab itu? Tiada.
Kerana apa? Kerana itu juga harapan kita kepada mereka.

"Apa yang boleh dilihat dari kehidupan anak kecil itu ialah, mereka tetap bangun walaupun berkali-kali jatuh semasa baru belajar berjalan."
NW

Begitulah tamsilan saya untuk mereka yang ingin berkahwin awal ini.
Memang ada yang akan mengatakan, "Saya belum bersedia lagi mahu menggalas tanggungjawab besar ni.", "Mereka belum matang lagi untuk berkahwin. Belum mampu untuk menggalas tanggungjawab besar ni. Kami tidak benarkan mereka bernikah."
Tetapi, tanya pada diri, jika kita ingin tunggu sampai waktunya yang kita ini bersedia, sampai bila?

"If you wait for a perfect conditions, you will never get anything done."
Unknown





"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu (mempunyai belanja serta keinginan) untuk berkahwin, maka, kahwinlah.
Sesungguhnya, perkahwinan itu akan menundukkan pandangan (terhadap yang tidak halal)
dan memelihara kemaluan dan kehoramatan mereka.
Dan sesiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa.
Sesungguhnya puasa itu mampu untuk menjadi benteng."
(HR Muslim)

Sekiranya perkahwinan itu merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, apalah salah sekiranya ibu bapa khususnya dan masayarakat amnya menggalakkan dan memberikan dorongan kepada mereka. Bantu mereka. Berikan mereka semangat, nasihat dan tunjuk ajar tentang bagaimana mahu menghadapi alam berumahtangga. Terangkan kepada mereka tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan sebagai suami/isteri. Itu lebih baik daripada menghalang mereka untuk melakukan kebaikkan.


Ramai kata, apabila sudah mendirikan rumah tangga, kita tidak boleh fokus pada pelajaran. Macam-macam yang perlu dilakukan. Tidak menang tangan dibuatnya.
Pada awalnya, mungkin begitu. Maka, BELAJAR! Belajar untuk mengahadapinya.
Try to adapt the newly environment.

Pada saya, mereka yang bernikah semasa sedang menuntut ilmu sangatlah bagus.
Saya bangga dengan mereka. Mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami/isteri dan pelajar.
Mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan daripada Allah, insyaAllah.
Jika ingin dibandingkan dengan mereka yang lain.
Sepertimana yang kita lihat pada situasi remaja kini, di sekolah, di universiti.
Yang mana yang lebih baik? Kita nilai. Kita pilih. Mana yang kita mahu.
Jika ada pilihan yang lebih baik, mengapa tidak memilihnya?
The choice is always in your hand.

Umumnya, mereka yang sudah bernikah akan lebih sedar akan tanggungjawab mereka yang besar itu.
Tidak hairan juga jika ada remaja menyatakan bahawa, bernikah membuatkan mereka lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan bersemangat untuk belajar.
Tidak hairan sedikit pun.
Kerana hakikatnya, perkara itu memang berlaku pada diri remaja itu secara semula jadi.
Pensyarah saya juga bernikah semasa belajar. Alhamdulillah. Berjaya dalam pelajarannya. Dapat menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Professor lagi. Anak-anaknya pun semuanya berjaya. Alhamdulillah.

Mungkin ada juga yang menyatakan bahawa, rezeki, jodoh, dan ajal telahpun ditetapkan sejak dilahirkan lagi.
Ingat kembali, dalam qada' dan qadar, ianya terbahagi kepada dua.
1) Qada' dan qadar yang boleh diubah - dengan cara USAHA
(Contohnya : Rezeki, Jodoh)
2) Qada' dan qadar yang tidak boleh diubah - Allah Maha Berkuasa, kita tidak mampu menghalangnya
(Contohnya : Ajal, Hari Kiamat)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra'd 13 : 11)

Tamsilannya, jika kita ingin berjaya dalam peperiksaan (UPSR, PMR, SPM, FINAL Universiti), apakah kita akan duduk sahaja? Tak perlu berusaha kerana kita kata, rezeki itu telah Allah aturkan sejak dari lahir. Tikamana, keputusan keluar, dan kita tidak mendapat keputusan yang bagus seperti yang lain, kita kata, "Nak buat macam mana, dah Allah aturkan macam ni, terima je lah."
Common lah! Allah tak kejam!
Allah nak beri tetapi Dia nak tengok usaha kita dahulu.
Dia akan memberikan setimpal dengan usaha yang kita berikan.

Sama juga halnya dengan jika kita menginginkan Syurga. Apakah kita akan duduk sahaja? Semestinya kita perlu beribadah dan memperbanyakkan amal, ikhlas keranaNya, untuk mencari redhaNya. Itulah mahar pengorbanan yang perlu kita bayar.

Begitulah juga bagi kita yang mahukan jodoh yang baik (soleh/solehah). Apakah kita akan duduk diam membatu? Tidak! Maka pertamanya, perbetulkan diri kita untuk menjadi yang soleh/solehah. Kemudian, carilah mereka yang pada kita baik agamanya untuk menjadikan teman hidup kita buat selama-lamanya bukan sahaja di dunia malah sehingga ke akhirat, di Syurga sana. InsyaAllah. Aminnn.

"Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha akan agamanya dan akhlaknya,
maka nikahilah dia.
Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas."
(HR Tirmizi)

"Seorang lelaki mahukan semua wanita solehah itu menjadi miliknya meskipun Islam hanya membenarkan empat orang sahaja. Tetapi, seorang wanita apabila telah mendapat seorang lelaki yang soleh, dia akan berusaha untuk tidak membiarkannya terlepas dari diambil oleh wanita lain."
Syeikh Nuruddin


"You can't always control who walks into your life.
But you know, which window to throw them out.
And, you know which door to be opened for."
Unknown


Terdapat juga segelintir dari kita yang tidak menyetujui nikah di usia muda ini kerana berpendapat bahawa mereka ingin berbakti pada agama dahulu.
Alhamdulillah. Perkara itu amat baik. Sangat baik.
Tetapi, cuba kita fikir balik. Apakah pernikahan menghalang kita untuk berbakti pada agama?
Apakah pernikahan itu menghalang kita untuk menuntut ilmu?
Pernikahan itu tidak salah. Sama sekali tidak.
Yang salahnya ialah kita. Kita yang tidak tahu untuk membezakan yang penting dan sangat penting.

Kita kata kita nak ikut contoh Nabi , bukan?
Nabi pun masa mula-mula berdakwah, Baginda berdakwah kepada keluarga, dan kaum kerabat Baginda.
Dan wanita pertama yang memeluk Islam, ialah isteri Baginda sendiri, Saidatina Siti Khadijah Khuwailid RA.

Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Khadijah beriman kepadaku ketika orang lain ingkar terhadapku.
Dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakan aku.
Dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang lain tidak memberikan aku apa-apa."

Maka apakah salah untuk berkahwin?
Terganggukah kita untuk berbakti pada agama?
Terganggukah kita mempelajari ilmu agama?
NO! It has been proven by our Prophet Muhammad PBUH.

Kita kata kita sayang Nabi Muhammad SAW kan? Kita mahu mengikut sunnahnya kan?
Dan ketahuilah, pernikahan juga merupakah salah satu sunnahnya.

Di mana-mana kita mesti pernah mendengar lagu Law Kanna Bainana kan?
Ramai yang sedih kerana rindu Baginda. Nak jumpa Baginda.
Bagus. Sangat bagus.
Dan lagi bagus jika kita cuba untuk menghadirkan diri kita pada zaman Baginda.
Tikamana masyarakat Jahiliyyah, menyembah selain Allah, tidak mendapat petunjuk dan kebenaran lagi.
Kemudian, Baginda diutuskan oleh Allah membawa wahyu al-Quran sebagai petunjuk kebenaran kepada kita.
Apakah kita akan mengikuti Baginda setelah bertahun-tahun mengikut ajaran nenek moyang yang terdahulu? Boleh jadi kita pada ketika itu menjawab seperti mereka yang terdahulu, "Kami hanya mengikut agama nenek moyang kami. Dan kamu wahai Muhammad hanyalah seorang yang terkena sihir."

Sebaliknya, kini, Nabi Muhammad SAW tiada lagi di sisi kita. Baginda cuma meninggalkan al-quran dan hadis (yang mana kita tidak akan sesat jika kita tetap berpegang teguh padanya), sunnah dan wasiat Baginda.

Lumrah manusia, hanya menyedari kehadiran seseorang apabila mereka telah tiada.
Apabila tiada, barulah nak sayang. Apabila tiada, barulah tahu nilai bersyukur.

Kerana itu, mereka yang terdahulu, imannya kuat. Sanggup berjuang harta, nyawa demi menegakkan Islam.
Kerana mereka bertemu nur setelah mereka berada di dalam kegelapan sekian lama.
Sedang kita, memang ditinggalkan dan mengetahui agama tauhid (Islam) itu ialah agama yang lurus (benar).
Maka apakah sama iman mereka dengan iman kita? Wallahu a'lam.

Baginda berpesan kepada kita untuk melakukkan amar makruf, nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikkan, meninggalkan keburukkan).
Kenapa bila ada yang ingin bernikah di usia muda, ada sahaja yang tidak bersetuju? Ada sahaja yang tidak boleh terima? Ada sahaja yang meletakkan bermacam-macam syarat?
Sedangkan itu ialah perkara yang baik.
Oh, ya! Perkara baik memang orang susah nak buat, bukan?
Tetapi perkara jahat dan buruk, syaitan menghiaskannya dengan keindahan sehingga kita tidak menyedari yang kita sebenarnya melakukan laranganNya. Begitulah kreatifnya syaitan untuk memperdayakan manusia.
Dan nyata, syaitan itu ialah musuh manusia.
Oh, manusia!

Ada yang kata belum cukup duit lagi untuk bernikah.
Jangan risau. Ingat kembali janji Allah. JanjiNya pasti dan Dia tidak akan memungkirinya.

Ada yang kata, tak nak kahwin awal sebab ibu ayah tak bagi. Mereka mahu kita habis belajar. Dan kita menuruti keinginan mereka.
Apakah jika ibu bapa menyuruh kita melakukan kejahatan, kita akan menuruti jugak?
Apakah yang ingin kita lakukan itu (nikah) merupakan satu kesalahan ataupun kebaikkan?

Kita kata, tak nak jadi anak derhaka. Nak ikut cakap ibu bapa kerana mereka yang melahirkan kita.
Bagus. Alhamdulillah. Anak yang soleh/solehah. Mudah-mudahan Allah memberkatimu. InsyaAllah.

Suka untuk saya mengajak para pembaca tanya pada hati kita kembali.
Sanggupkah kita melihat ibu bapa kita menanggung dosa atau nama buruk atas sesuatu perbuatan jahat yang kita sendiri lakukan? Sanggupkah kita?
Saya bagi contoh dengan isu kes buang bayi. Masyarakat salahkan remaja. Masyarakat salahkan ibu bapa.

Give your mind time to think. Think professionally.

Jika kita buat salah, masyarakat akan mengata. Bukan sahaja kita bahkan ibu bapa kita. Mereka akan serkap jarang mengatakan, "Ibu bapa dialah tu yang tak tahu nak didik anak."
Pernah fikir tak apa perasaan ibu bapa kita kalau masyarakat sendiri berkata begitu?

Jika kita buat baik, masyarakat akan tetap mengata kita juga.
Mulut manusia. Selagi mereka boleh bercakap. Biarkan mereka bercakap. Apabila mereka dah letih nanti, pandailah mereka berhenti.

Maka dengan itu, suka untuk saya menasihatkan kepada diri dan pembaca sekalian.
Ayuhlah remaja. Jangan menconteng arang di muka sendiri!
Di mana sahaja kamu berada, kamu tetap membawa nama ibu dan ayah.
Terpulang pada kita nak bawa nama baik atau nama buruk untuk mereka.
Perkara baik memang susah dan sukar. Tetapi, itulah harga yang perlu kita bayar.

***

Cut off points.Semua bekalan telah disediakan. Apa lagi yang kita kekurangan?
Mengapa kita tidak boleh bertolak ansur dengan mereka yang mahu bernikah di usia muda ini?
Mengapa? Mengapa? Mengapa?

***

Kepada mereka, khusunya ibu bapa, bukalah minda. Pertimbangkanlah hasrat mereka.
Masyarakat. Tidak perlulah memandang sinis. Mereka melakukan kebaikkan. Sokonglah mereka.
Remaja. Jangan hanya duduk sahaja. USAHA juga.

"Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamaNya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
(Surah Al-Hajj 22 : 40)

"Wahai orang yang beriman, jika kamu membela agama Allah,
nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."
(Surah Muhammad 47 : 7)

***

Kepada remaja yang sudah pun bernikah, saya ucapkan tahniah! Semoga Allah memberkati hubungan kalian dan kekal untuk selama-lamanya hingga ke Jannah. InsyaAllah. Aminnn.

Ibu, ayah, izinkan kami untuk bernikah, boleh?
*Supaya kami dapat rasa keberkatan dan keredhaanNya.
Supaya kami dapat juga rasa sedikit kebahagiaan itu.*


Saya menulis berdasarkan pengalaman, kerana saya juga remaja.
Remaja yang hanya mampu melihat kehidupan melalui mata hati.
Jika ada mana-mana yang saya salah, mohon diperbetulkan.
Saya juga manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan.
Maaf juga seandainya apa yang saya tuliskan ini berbeza dengan pendapat orang lain.
Sememangnya setiap dari kita mempunyai pendapat yang berbeza-beza.
Dan itulah yang membuktikan kebesaran Allah.
Walaupun kita berbeza, kita masih tetap hambaNya.

Wallahu a'lam.

PERKONGSIAAN DARIPADA ADIKKU SAYANG =)

No comments:

Post a Comment